Sunday, September 7, 2008

Catatan Ramadhan: Kenangan Puasa Zaman Kanak-kanak /Remaja




Bulan puasa adalah bulan menahan diri dari makan, minum dan perkara yang boleh membatalkan puasa akan tetapi tidaklah dapat menahan aku dari mengenang puasa aku di zaman dulu-dulu, zaman kanak-kanak, zaman remaja, zaman sebelum berbini.

Zaman kanak-kanak, walaupun masih belum wajib berpuasa, aku tetap berpuasa sebab nak dapat duit raya dan baju raya. Kalau aku puasa tak penuh, makanya duit raya juga tidak dapat penuh, dan jika aku dapat menamatkan Ramadhan tanpa cacat celanya, bukan saja duit raya dan baju raya aku dapat, malah aku dapat membanggakan ibu bapa aku ketika bertandang ke rumah jiran dan saudara mara.

"Abang puasa penuh ke tahun ni?"
"Penuh!"
"Terer la Abang, kecik-kecik lagi dah boleh puasa penuh..."
"Hehehe..."

Aku jawab sambil membelek sampul duit untuk melihat-lihat ke dalamnya..

Kadang-kadang muka nampak koro juga bila tak larat sangat, apa yang mak aku selalu katakan sebagai motivasi jika aku tak larat untuk terus berpuasa adalah selalunya tentang sepupu-sepupu aku yang lain yang diketahui memang tak pernah 'kantoi' berpuasa sebagai semangat untuk aku terus berpuasa. Kalau kantoi puasa rasa tercalarlah imej bapa aku Hj Yaakob yang menjadi rujukan orang kampung dalam bab-bab agama ni.

Ketika masuk alam persekolahan, rupanya lagi banyak godaan dari berpuasa sepanjang hari di rumah. Rakan-rakan yang memonteng puasa misalnya yang selalu bertindak menjadi syaitan jelmaan yang nyata di bulan Ramadhan, ya lah, sebab syaitan betul sudah kena rantai. Jambu dan mempelam milik orang kampung semuanya di 'sebat' dan tempat mereka melakukan aktiviti terkutuk ni selalunya di belakang surau. Ironinya, masa berbuka puasa ni, masa lepas ngaji Quran sebelah petang saja, bukan masa sekolah pagi (sekolah kebangsaan).

Aku masa sekolah rendah tetap juga berpuasa penuh, sebab aku tak geng dengan mereka yang selalu ponteng puasa ni. Iman aku tetap tak tergugat walaupun seplastik air coke campur ais yang kawan-kawan aku sua depan mata aku yang mereka beli sorok-sorok dari kedai depan sekolah, aku tetap berpuasa.

Walaupun bulan puasa, permainan biasa seperti main guli, main getah (lastik getah), main aci geng (main kejar-kejar), main bola chop, main aci menyusup mahupun main zero-point [getah gelang yang disambung-sambung sampai panjang dan dihayun-hayun dengan seorang pemain terloncat-loncat mengelak getah tersebut di tengah-tengah] (aku pun tak tau la betul ke bunyinya, tapi main ni budak perempuan suka la!) akan tetap diteruskan tanpa mengenal erti penat dan lelah, ya lah, kebanyakkan kawan-kawan aku tak berpuasa, jadi bulan puasa ke, bulan biasa ke, macam sama saja, tak ada beza!

Bulan-bulan puasa ini aku biasanya akan membawa sehelai sapu tangan yang aku akan basahkan dan aku letakkan di leher dan kadang-kadang aku lekapkan dibibir supaya kehausan dapat dielakkan dan kesegaran dapat dikekalkan sepanjang masa.

Tetapi sepanjang aku bersekolah rendah, aku hanya pernah ponteng puasa hanya sekali saja, tetapi tanpa pengetahuan ibu bapa aku. Mana boleh bagitahu, malulah dekat adik-adik yang puasa penuh. Hehehe. Itupun pun fasal tergoda tengok kawan-kawan makan jambu dekat belakang sekolah dengan seplastik air lamminet .

Masuk sekolah menengah, sekolah pula sekolah agama, makanya penuhlah aktiviti di bulan Ramadhan dengan aktiviti yang menambahkan pahala seperti tadarrus al Quran, hafazan ayat-ayat suci al Quran, sembahyang terawih penuh lengkap dengan qunut nazilah dan lengkap dengan bacaan surah-surah panjang... hehehe... dan mulut tidak lekang dengan zikir memuji Allah. Namun walaupun sekolah tersebut adalah sekolah agama, ada juga pelajarnya yang menjadi musuh yang nyata di siang hari. Ada antara rakan-rakan aku tak berpuasa hanya kerana sebiji gula-gula mentos. Ada juga yang batal puasanya menjelang waktu berbuka hanya kerana tak tahan melihat air tin yang dijual di kantin. Pukul 5.30 beli makanan dan minuman di kantin sebab tak selera tengok menu di dewan makan, jam 6.00 makanan dan minuman yang dibeli sudah tinggal separuh.

Bila dan besar sedikit, sudah mula belajar merokok. Ada juga kawan-kawan sudah berbau rokok pada pukul 12 tengah hari. Selalunya maggi adalah menu utama untuk mereka yang ponteng puasa dan kadang-kadang ada menu istimewa yang dibawa dari rumah seperti sosej untuk tambahan perisa ke dalam mi segera.

Selalunya alasan tak berpuasa adalah kerana tak bersahur ataupun kalau bangun, lauk dewan makan tak sedap. Betul juga, kadang-kadang lauk-lauk yang disediakan macam nak tak nak saja masakannya. Ikan busuklah. Daging keras dan liat dan macam-macamlah. Selalunya kalau aku tak sanggup nak menelan lauk sahur di dewan makan, cukup bagi aku beberapa biji buah kurma dan air manis-manis ataupun sekadar air kosong dari water cooler dewan makan.

Bila dan meningkat dewasa, belajar di universiti lagi banyak karenah dan gelagatnya. Duduk rumah sewa bersama kawan-kawan sekuliah lagilah banyak ceritanya. Selalunya di bulan ramadhan ini, akan ada satu bilik yang berkunci pada waktu tengahhari, selalunya bila tamat kuliah sesi pagi. Selepas itu, bau aroma rokok pelbagai jenama akan memenuhi ruang rumah dan aku hanya boleh memendam rasa tak puas hati. Ya lah nak tegur banyak-banyak kali nanti, kata bagi ceramah lah, apalah padahal aku bukannya baik sangat pun. Selalunya lauk-lauk dan juadah 'berbuka puasa' di tengahhari tu mereka beli dari restoran mamak yang di buka sambil bidainya ditarik turun pabila menjelang waktu tengahhari. Selalunya kawan aku yang tukang beli akan membawa beg sandang dan memasuki restoran tersebut tanpa menanggalkan helmet sebab nak coverline lah tu!

Kadang-kadang ada air kotak besar pelbagai jenama dalam peti ais yang malam tadinya kosong, tapi bila tengahhari dah ada wujud tersimpan di dalamnya tetapi dalam keadaan terbuka. Memang misteri, tapi bangkai gajah bukan boleh ditutup dengan pelepah kelapa kan? hehehe..

Itulah kenangan berpuasa aku. Harap-harap puasa tahun ni penuhlah hendaknya.