Tuesday, September 9, 2008

Satu Kisah Untuk Iktibar




Alhamdulillah, pejam celik hari ini sudah hari ke lapan kita berpuasa. Semoga puasa kita sentiasa memperolehi yang terbaik, bukan sekadar memperolehi lapar dan dahaga sahaja. Teringat saya pada satu artikel yang pernah saya baca, Umat sebelum nabi Muhammad dipanjangkan umur supaya mereka boleh beribadat kepada ALLAH dalam satu jangka masa yang panjang. Tetapi umat Muhamad atau umat akhir zaman ini, mempunyai usia yang lebih pendek, jadi untuk lebih adil, maka bulan Ramadhan dikhususkan untuk berpuasa dan juga untuk lebih beribadat dan diberikan gandaan pahala, supaya ganjaran yang diberikan ALLAH adalah setara dengan umat sebelum Nabi Muhammad. Jadi gunakanlah sebaiknya kebaikan yang diberikan pada bulan ramadhan ini.

Saya ingin berkongsi satu cerita yang saya rasakan amat menarik dan boleh dijadikan renungan dan teladan untuk diri kita.

Di suatu zaman terdapat sebuah kerajaan yang ganjil di dalam sebuah kota yang tertutup. Di luar kota itu hanyalah kawasan kering kontang dan dipenuhi binatang buas.Tiada siapa berani keluar dan menjengahkan diri daripada kota itu. Jika keluar juga, alamat menempah mautlah jawabnya.Mungkin di baham binatang buas.Mungkin mati kebuluran makanan dan kekeringan air.
Kerajaan ini ganjil kerana mempunyai peraturan yang ganjil.Setiap 5 tahun sekali satu pilihanraya untuk melantik Perdana Menteri di adakan.Yang ganjilnya,apabila tamat tempoh 5 tahun pemerintahan Perdana Menteri tersebut, beliau akan dikeluarkan dari kota itu bagi menunggu kematian akibat dibaham binatang buas atau mati kehausan.Bermakna kota itu hanya dibuka 5 tahun sekali untuk menghumban Perdana Menteri itu ke luar kota.

Justeru tiadalah siapa yang berani menjadi Perdana Menteri mengenangkan nasib yang bakal menimpa mereka setelah habis tempoh pemerintahan 5 tahun. Melainkan seorang pemuda yang bersedia menawarkan diri. Apabila ditanya oleh Ketua Tentera, betulkah keputusannya itu dan sanggupkah dia menerima risikonya, pemuda itu menjawab dengan yakin,’Betullah!”.
Dipendekkan cerita, jadilah pemuda itu Perdana Menteri.Beliau seorang yang pintar.Dikelilingi pula oleh menteri-menteri yang pintar-pintar.Pada setiap malam tanpa disedari oleh penduduk kota itu, mereka membuka pintu kota itu dan membawa keluar segala peralatan dan jentera pertanian. Bermakna mereka menjalankan kerja-kerja pertanian dan perladangan di luar kota itu sebagai sumber makanan.
Apabila tiba tempoh 5 tahun, sekali lagi Ketua Tentera bertanya kepada Perdana Menerti tersebut, “Sekarang sudah sampai tempohnya, sudahkah anda bersedia untuk dihumban keluar dari kota ini”. Jawab pemuda itu dengan yakin dan gembira, “Ya, aku sudah bersedia”.
Kehairananlah Ketua Tentera dan rakyat jelata akan sikap Perdana Menteri itu yang sangat berbeza dari PM-PM yang lama,yang mana akan pucat dan gementarlah mereka apabila tamat tempoh 5 tahun tersebut. Apabila dibuka pintu kota tersebut, terjawablah kemusykilan penduduk kota tersebut apabila dilihat diluar kota tersebut terbentang sebuah taman dan ladang yang indah dan subur.Bermakna tiadalah akan mati bekas Perdana Menteri tersebut diluar sana akibat kehausan dan kebuluran(InsyaAllah!)

Apakah pengajaran yang kita perolehi daripada cerita tersebut?

kota yang tertutup itu ibarat dunia ini dan Perdana Menteri itu adalah diri kita sendiri. Keadaan diluar kota itu adalah ibarat kematian. Tempoh 5 tahun diibaratkan tempoh kita akan menemui kematian. Taman yang indah dan ladang yang subur adalah ibarat bekalan dan persiapan kita. Orang yang bersedia menemui kematiann dengan bekalan amalan kebaikan dan kebajikan akan berasa gembira dan seronok untuk bertemu Tuhan. Sementara orang yang tiada bekalan dan hidup dalam kemaksiatan dan kemungkaran, akan takut menghadapi kematian dan tidak bersedia menemui Tuhan.

Sudahkah kita bersedia untuk menempuh kematian?

(sumber: Lin Comel)

Waktu

Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan.

Ambillah waktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi.

Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan.

Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan.

Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan Tuhan.

Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan.

Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah musik yang menggetarkan hati.

Ambillah waktu untuk memberi, itu adalah membuat hidup terasa bererti.

Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan.

Ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menuju syurga.